Malay

Rahsia solat: sujud

Oleh Jinan Yousef | Diterjemahkan oleh Aisyah Yuhanis

Siri Solat (Prayer Series in Malay) English Version

Bahagian IBahagian IIBahagian IIIBahagian IVBahagian VBahagian VIBahagian VIIBahagian VIIIBahagian IX | Bahagian XBahagian XIBahagian XIIBahagian XIIIBahagian XIVBahagian XV|Bahagian XVIBahagian XVIIBahagian XVIIIBahagian XIXBahagian XXBahagian XXIBahagian XXIIBahagian XXIIBahagian XXIII | Bahagian XXIV | Bahagian XXV | Bahagian XXVI | Bahagian XXVII | Bahagian XXVIII

93412003_6e6ac30e87_o
Sekarang kita telah sampai di bahagian sujud. Ibn Al-Qayyim menyifatkan sujud sebagai rahsia solat, rukun terhebat, dan penutup rukuk. Menurut beliau semua pergerakan yang kita lakukan sebelumnya hanyalah prelude (permulaan).

Kita patut kenang kembali: apa yang kita rasa semasa bersujud? Sesetengah kita melakukannya kerana ia sebahagian daripada solat, yang lain melakukannya kerana boleh berdoa. Tapi berapa banyak antara kita yang merasakan kerendahan jiwa, apabila kita meletakkan muka kita ke lantai, dalam mengagungkan Tuhan?

 

Kebahagiaan Sebenar

Di mana kita jumpa kebahagiaan? Bukan kebahagian kebendaan, tapi kebahagiaan dalaman yang sebenar. Sebagai muslim, kita mungkin mengatakan kebahagiaan sebenar dunia ini dirasakan dengan mendekatkan diri dengan Tuhan. Semakin dekat anda dengan Tuhan, semakin hati anda merasa tenang. Inilah kenapa Rasulullah ﷺ memilih untuk bersama Allah, dengan berkata “Tuhan telah memberikan seseorang hamba untuk memilih antara kekal di dunia ini selagi Tuhan mengizinkannya, atau bertemu dengan Tuhan, dan dia telah memilih untuk bertemu Tuhannya.” Ketika Abu Bakar r.a. mendengarkan ini, dia menangis kerana dia tahu Rasulullah telah memilih untuk bersama Allah daripada dunia ini.

Untuk dekat dengan Allah, anda perlu bersujud. Rasulullah ﷺ bersabda:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ

“Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya semasa dia bersujud.” (Muslim)

Semakin anda merendah diri dan bersujud, semakin dekat anda dengan Allah; dan sebenarnya, Dia mengangkat darjat anda. Rasulullah ﷺ bersabda:

من تواضع لله رفعه

“Sesiapa yang merendah diri di hadapan Allah, Allah akan meninggikan darjatnya.” (Muslim)

Inilah sebabnya, ketika Rasulullah ﷺ mendapat sesuatu yang menggembirakan, baginda akan lekas bersujud untuk menyatakan kesyukuran. Allah berfirman dalam Qur’an kepada baginda:

96:19

“Sekali-kali janganlah begitu, janganlah engkau ikut orang yang bersalah itu dan sujudlah (kepada Allah) dan hampirkan diri (kepadaNya).” (Qur’an, 96:19)

Diangkat ke syurga

Ibnu Taimiyyah berkata semasa sujud, jiwa-jiwa mereka dibawa dekat dengan Allah. Rasulullah ﷺ mengajar kita:

اكثر من السجود فإنه ليس من مسلم يسجد لله تعالى سجدة  الا رفعه  بها الله درجة في الجنة وحط عنه بها خطيئة

“Banyakkan bersujud kerana tiada Muslim yang bersujud kepada Allah melainkan Allah mengangkat satu darjatnya di syurga dan mengampunkan satu dosanya” (Ahmad).

Makin banyak anda bersujud, makin tinggi kedudukan anda di syurga InsyaAllah, sehingga kita mencapai darjat yang tertinggi, Jannatul Firdaus, dan di sinilah Rasulullah ﷺ akan berada. Dan bumbung kedudukan ini adalah Arasy Tuhan yang Rahim. Bagaimana kita tahu sujud membolehkan kita mencapai kedudukan ini? Rabi’a bin Ka’b (ra), seorang sahabat Rasulullah ﷺ berkata:

“Aku bersama Rasulullah ﷺ pada suatu malam dan aku membawakan baginda air dan keperluan yang lain.

Baginda berkata kepadaku ‘Mintalah (apa yang kamu mahu).’

Aku berkata: ‘Aku mahu ditemanimu di syurga.’

Baginda berkata: ‘Selain daripada itu?’

Aku menjawab: ‘Itu sahaja yang aku mahu.’

Baginda berkata: ‘Dengan itu bantulah aku mencapainya untukmu denganmu selalu melakukan sujud.’” (Muslim).

Hati bersujud

Adakah hati bersujud? Ya, dan lebih hebat daripada tubuh badan. Sujudnya hati adalah pada kerendahannya, iaitu seseorang itu bangun dari sujudnya, namun hatinya masih lagi rasa bersujud. Ia melakukan demikian kerana mengetahui Allah yang memberi petunjuk, mengangkat darjat seseorang dan merendahkan yang lain, yang memberikan rahmatnya tapi juga memberikan hukuman, dan yang menghilangkan kesedihan di hati. Jika hati anda tidak merasa sebarang kekurangan, kerendahan diri yang diperkatakan tadi, maka komponen penting dalam sujud tadi masih hilang.

Da’i Mishary Al-Kharraz pernah ditanya “Bagaimana saya boleh tahu jika hati saya dalam keadaan merendah diri atau tidak?” Beliau menjawab, “Apabila anda merasakannya, anda akan tahu.” Adalah mustahil untuk hati anda bersujud dengan rendah diri kepada Allah dan anda tidak merasakannya. Allah berkata dalam Qur’an:

سيماهم في وجوههم من أثر السجود

“Tanda mereka itu adalah di muka mereka, kerana bekas sujud…” (48:29)

Ramai orang menyangka “tanda” itu merujuk kepada tanda lebam pada dahi seseorang akibat sujud terlalu lama. Bagaimana pun, Mujahid mengatakan “tanda” itu merujuk kepada tanda kerendahan diri yang datangnya daripada khusyuk, dan ini hanyalah sekadar di dunia. Di akhirat nanti, Al-Jalalayn menyatakan ia seperti cahaya dan orang-orang ini dikenali berdasarkan pancarannya. Rasulullah ﷺ bersabda:

إن أمتي يومئذ غر من السجود محجلون من الوضوء

“Ummatku pada hari itu pasti bersinar-sinar mukanya kerana sujud, dan tangan dan kaki yang bersinar kerana wudhuk.” (Ahmad)

Sujud amat penting sehinggakan syaitan membenci kita kerananya. Telah diriwayatkan apabila anak Adam membaca surah Sajjadah (sujud) dan bersujud, syaitan akan membawa diri dan menangis sambil berkata: “Dukacitanya aku, anak Adam telah diperintahkan bersujud dan dia bersujud dan syurga dijanjikan kepadanya dan aku telah diperintahkan bersujud, tapi aku enggan dan aku dicampak ke neraka.” (Muslim)

Dekat dengan Tuhan

Subhanallah, orang tersebut mati dalam sujudnya di dalam masjid Rasulullah ﷺ Kita tidak tahu siapa dia, atau apa yang telah dia lakukan dalam hidupnya, sehinggakan Allah merahmatinya untuk pergi dalam keadaan tersebut.

Rasulullah ﷺ bersabda: “Berapa ramaikah orang yang kelihatan tidak terurus, kotor dan terbiar, namun apabila dia bersumpah dengan Allah, Dia akan memakbulkannya.” (Tirmidhi).

Kita akan dibangkitkan nanti dalam keadaan kita meninggal. Bagaimanakah keadaan kita?

Moga Allah mengizinkan kita untuk menyempurnakan solat kita supaya hati kita akan lebih dekat denganNya. Amin.

About the author

Malay Translator

Add Comment

Leave a Comment